Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25)
Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti, mengaplikasikan amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP) selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
TS25 adalah satu usaha ke arah melahirkan modal insan unggul melalui persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan, disokong kepimpinan yang berkualiti dan berwawasan, guru yang kompeten dan beraspirasi tinggi, serta komitmen ibu bapa dan komuniti yang padu.
Objektif Dan Matlamat
Objektif Program Transformasi Sekolah antara lain ialah;
- Mengaplikasi konsep dan amalan pengajaran dan pembelajaran serta pemudahcaraan (PdPc) terbaik.
- Membangunkan kepakaran dalaman melalui latihan yang komprehensif dan berstruktur kepada pembimbing pedagogi serta pembimbing kepimpinan.
- Membangunkan persekitaran pembelajaran yang berkesan dengan mengutamakan kemenjadian murid.
Berdasarkan kepada tiga objektif Program TS25 tersebut, maka KPM telah menetapkan tiga matlamat utama yang perlu dicapai oleh semua sekolah di Malaysia pada tahun 2025, iaitu;
- Memantapkan kepimpinan sekolah.
- Memaksimumkan potensi guru dan murid menerusi peningkatan kualiti pembelajaran dan pengajaran.
- Mengukuhkan pelibatan ibu bapa, komuniti dan pihak berkepentingan demi kejayaan murid.
Matlamat Konsep Program TS25 adalah satu usaha ke arah melahirkan modal insan unggul, yang akan dicapai menerusi transformasi dalam lima teras yang berikut;
- Persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan
- Penglibatan pembelajaran murid yang aktif lagi bermakna
- Disokong kepimpinan yang berkualiti serta berwawasan
- Guru yang kompeten, beraspirasi tinggi
- Komitmen komuniti yang padu.
Sehubungan itu baru-baru ini dilaksanakan Konvensyen Kebangsaan TS25 bertempat di Melaka bertemakan “TS25 Penggerak Pembelajaran Bermakna”. Konvensyen berkenaan dihadiri seramai 550 peserta yang terdiri daripada Rakan Educational Leadership And Instructional Team (ELIT) yang terlibat dengan program transformasi sekolah Kohort 1 dan Kohort 2 dan telah melaksanakan program ini, serta Kohort 3 yang bakal melaksanakannya pada tahun depan yang bakal tiba sebulan sahaja lagi.
Tahun 2017 ini merupakan tahun kelima pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah PPPM 2013-2025 yang telah memasuki fasa ataupun Gelombang 2 (2016-2020). Dalam tempoh pelaksanaan Gelombang 2, KPM memberi tumpuan kepada usaha memacu peningkatan sistem yang pastinya dapat memberi sokongan kepada pelaksanaan PdP di dalam bilik darjah.
Dalam hal ini hubungan antara pemimpin sekolah, guru, komuniti dan murid dalam sesebuah sekolah merupakan elemen penting yang menggerakkan transformasi sekolah.
Guru-guru pula perlu melaksanakan pedagogi yang berimpak dan bermakna kepada pembelajaran murid. Murid bukan lagi boleh dianggap sebagai penerima ilmu yang pasif sebaliknya pedagogi terkini perlu dijana bagi mencorakkan pembelajaran kendiri murid, menggalakkan pembelajaran kolaboratif, cekap berkomunikasi, serta berfikir secara kritis dan kreatif. Inilah antara konsep dan pendekatan yang diberikan penekanan dalam TS25 yang dianggap bertepatan dan selari dengan pendekatan Amalan ini adalah selari dengan penerapan Enam Aspirasi Murid dalam PPPM 2013-2025, iaitu memupuk pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran dwibahasa, kemahiran memimpin, etika dan kerohanian serta identiti nasional.
Bagi mengukuhkan perubahan pedagogi yang diamalkan, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) telah dilaksanakan, selaras dengan hasrat untuk menilai pembangunan dan kemenjadian murid. Pentaksiran kini telah berubah daripada assessment of learning (penilaian pembelajaran) kepada assessment as learning (penilaian sebagai pembelajaran).
Guru-guru diharap dapat menguasai pedagogi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan melaksanakan PBS dengan betul kerana elemen inilah yang menjadi pemangkin kepada transformasi sekolah serta dapat meningkatkan pelbagai kemahiran seperti kemahiran untuk berfikir, kemahiran mencari maklumat, keupayaan menyelesakan isu dan masalah, yakin menyuarakan pendapat, dan seterusnya kemahiran memimpin dapat ditingkatkan.
Satu lagi perkara penting yang mendasari TS25 ini ialah sokongan kepakaran dalam meningkatkan prestasi sekolah. Sebagaimana yang kita ketahui, TS25 menggunakan kepakaran pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Institut Aminuddin Baki (IAB), Schools Improvement Specialist Coaches Plus (SISC+) dan Schools Improvement Partnership Plus (SIPartners+) yang kita kenali sebagai Rakan ELIT.
Rakan ELIT ini akan mengadakan lawatan ke sekolah dan bersama-sama pemimpin sekolah untuk merangka Pelan Intervensi Transformasi Sekolah (PinTas) berdasarkan data-data dan maklumat sekolah. Pendekatan ini terbukti berjaya meningkatkan prestasi sekolah. Kaedah yang hampir sama telah digunakan sebelum ini dalam melaksanakan Program Transformasi Daerah (DTP).
Tiga tahun lagi pelaksanaan PPPM 2013-2025 akan memasuki Gelombang 3. Dalam Gelombang 3 transformasi pendidikan akan memberi tumpuan ke arah kecemerlangan. Pelaksanaan TS25 adalah landasan terbaik bagi merealisasikan hasrat yang ingin dicapai dalam Gelombang 3.
Dalam ucapan perasmian Konvensyen Kebangsaan TS25, mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, seperti yang selalu beliau nyatakan untuk mengorak ke arah kecemerlangan ia perlu bermula dengan perubahan di bilik darjah.
“Transformasi pendidikan secara total tidak akan berlaku tanpa perubahan yang berlaku di bilik darjah,” tegas beliau.
“Saya telah dimaklumkan sejak Program Transformsi Sekolah ini dimulakan pada tahun 2015, terdapat perubahan yang ketara dari segi peningkatan motivasi guru, pembudayaan pembangunan profesionalisme sebagai profesional learning community (PLC), dan pelaksanaan coaching and mentoring telah berlaku dalam setiap mata pelajaran.”
“Yang lebih bermakna ialah kemenjadian murid seperti peningkatan kehadiran ke sekolah, lebih yakin untuk berkomunikasi dan kualiti kepimpinan berjaya ditunjukkan. Tahniah dan syabas kepada semua warga sekolah yang terlibat dalam program ini,” ucap Dr. Khair.
Menurut beliau, pada masa hadapan apabila sekolah-sekolah yang melaksanakan Program TS25 telah mencapai tahap yang cemerlang, sekolah ini juga boleh memohon untuk menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan Sekolah Kecemerlangan Kebangsaan.
Cabaran menyediakan pendidikan berkualiti bukan sahaja untuk mencapai matlamat sekolah atau institusi tetapi juga untuk mencapai matlamat dasar-dasar negara seperti yang dinyatakan dalam Wawasan 2020, Dasar Ekonomi Baharu (DEB), Dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50), dan Pembangunan Lestari Keempat atau Sustainable Development Goals 4 (SDG4) di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Kesemua dasar ini menuntut kepada pendidikan yang berkualiti bagi melahirkan sumber tenaga dan masyarakat Malaysia yang memiliki nilai-nilai tinggi, berakhlak, mencintai ilmu pengetahuan, rajin membaca, menghargai seni budaya dan warisan, serta memiliki minda yang mencerminkan rakyat sebuah negara maju.
Sejarah TS25
Program TS25 KPM merupakan nama baharu yang dijenamakan semula menggantikan nama Program Transformasi Sekolah (PST) KPM yang dilaksanakan mulai tahun 2015.
Peringkat pertama (Kohort 1) pada tahun 2015 sejumlah 100 buah sekolah rendah dan sekolah menengah telah dipilih di setiap daerah. Peringkat Kedua (Kohort 2) sejumlah 100 buah sekolah lagi dipilih pada tahun ini (2017) dan seterusnya, 400 buah sekolah lagi (Kohort 3) telah dipilih untuk pelaksanaan tahun hadapan (2018). Ini bermakna mulai tahun 2018 sejumlah 600 buah sekolah akan melakanakan Program TS25.
Latihan dan bimbingan kepada Rakan ELIT TS25 kohort pertama telah dilaksanakan mulai 10 Ogos 2015 dan selesai sepenuhnya pada 4 Jun 2016. Seterusnya, latihan dan bimbingan kepada Rakan Elit TS25 kohort kedua pula telah dilaksanakan mulai 13 Mac 2017 dan selesai pada 19 Oktober 2017.
Objektif konvensyen ini adalah untuk menyediakan platform berkongsi pengalaman dalam membudayakan amalan terbaik Program TS25, seterusnya menjana dan mencetus idea tentang inovasi dalam pendidikan sebagai nilai tambah kepada semua peserta dan memberi peluang dan pendedahan awal kepada pengetua dan guru besar TS25 Kohort 3 berkaitan pelaksanaan TS25.
Konvensyen Kebangsaan TS25 di Melaka baru-baru ini diadakan selama tiga hari melibatkan dua pembentangan utama. Ucaptama pertama disampaikan oleh Datuk Dr. Amin Senin, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Pembangunan Profesionalisme Keguruan, yang kini telah dilantik menjadi Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia menggantikan Dr. Khair.
Ucaptama kedua pula disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Zaida Mustafa, Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR). Seterusnya diikuti 10 pembentangan amalan terbaik dibentangkan oleh wakil daripada Bahagian Pendidikan Guru (BPG), IAB, IPGM, pengetua dan guru besar sekolah-sekolah TS25 yang terpilih.
Di samping itu perkongsian amalan terbaik juga ditunjukkan melalui pameran oleh 10 buah sekolah dalam kalangan sekolah yang melaksanakan TS25 kohort pertama dan kedua.
Editor Pendidik MY
No comments:
Post a Comment